Wednesday, October 10, 2012

Huraian Nilai Murni



Nilai Murni 

Sukatan pelajaran mencatatkan bahawa penerapan nilai murni dalam pendidikan Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan insan yang baik serta memiliki akhlak mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan nilai murni bertujuan untuk membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berperibadi mulia.
Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni masyarakat Malaysia perlu dipupuk sama ada secara langsung atau tidak langsung, selaras dengan nilai sejagat. Tegasnya, usaha guru menerapkan nilai murni di sekolah merupakan amalan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jadi, sudah sewajarnya aspek ini dilaksanakan dengan segala kesungguhan.



Di bawah ini disenaraikan 17 nilai murni dengan sedikit ulasannya.

1. Baik Hati … sikap mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara ikhlas yang dapat dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain.

2. Berdikari … kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung pada orang lain yang terjelma juga melalui rasa tanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri.

3. Hemah Tinggi … budi pekerti dan tingkah laku yang mulia dan lemah lembut serta budi bahasa yang patut diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan anggota masyarakat yang lain; terjelma melalui kesopanan, mengakui kesalahan diri, dan ramah mesra.

4. Hormat-menghormati … menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan; antara lain terjelma melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga, dan pemimpin; dan terjelma juga melalui hormat kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.

5. Kasih Sayang … perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu; termasuk sayang/cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.

6. Keadilan … perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah; termasuk juga saksama.

7. Kebebasan … dapat melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu tertakluk pada peraturan dan undang-undang agama, masyarakat dan negara; terjelma melalui kebebasan di sisi undang-undang dan kebebasan dalam sistem demokrasi.

8. Keberanian … kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati; termasuk berani tanpa membuta tuli, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian, dan berani bertanggungjawab.

9. Kebersihan Fizikal dan Mental … kebersihan diri dan kebersihan persekitaran; terjelma melalui pertuturan, kelakuan, pemikiran dan amalan kerohanian.

10. Kejujuran … sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan; termasuk amanah, bercakap benar, dan ikhlas.

11. Kerajinan … usaha secara berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan sesuatu perkara; terjelma melalui kecekalan, daya usaha, dedikasi, gigih dan tekun.

12. Kerjasama … usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat; termasuk persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong-royong, toleransi, kebaikan bersama dan perpaduan.

13. Kesederhanaan … sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat; secara umum sederhana dalam mempertimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.

14. Kesyukuran … perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas atas nikmat dan kesenangan yang diperoleh; termasuk berterima kasih, mengenang budi, dan menghargai seseorang/sesuatu--fokus utama ialah kesyukuran kepada Tuhan.

15. Patriotisme … semangat cinta akan negara, taat setia kepada raja dan sanggup berkorban demi negara.

16. Rasional … dapat berfikir dengan berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat melakukan tindakan yang wajar tanpa dipengaruhi oleh perasaan; termasuk mampu membuat pertimbangan, berfikir logik dan bersifat terbuka.

17. Semangat Bermasyarakat … kesediaan melakukan sesuatu berdasarkan semangat kekitaan seperti bermuafakat, kejiranan dan peka tentang isu sosial dan masyarakat.
 

Sebenarnya, penerapan nilai murni berlaku secara berterusan dalam hidup kita sama ada dalam masyarakat, di rumah, mahupun di sekolah. Sesungguhnya guru mempunyai peluang yang sangat banyak untuk menerapkan nilai murni semasa berinteraksi dengan murid di dalam bilik darjah. Ketika mengajarkan bahan yang mengandungi maklumat pula, kemahiran murid untuk menyampaikan maklumat itu perlu dititikberatkan. Pendeknya hampir kesemua aktiviti di dalam bilik darjah dapat dimanipulasi untuk menerapkan nilai murni sama ada dengan cara meminta murid menjadikan perkara baik sebagai teladan atau meminta mereka menjadikan perkara buruk sebagai sempadan. Yang penting guru mesti menyedari akan kewujudan nilai itu, menyerlahkannya kepada kelas dan memberikan peneguhan kepada murid untuk mengamalkan nilai itu.

No comments:

Post a Comment